Wednesday 14 May 2014

PANTUN CERMINAN ORANG MELAYU

Menurut buku Penghayatan Antologi Sehijau Warna Daun hasil karya Othman Puteh, Ali Majod dan Sharif Putera, pantun ialah puisi asli milik masyarakat Melayu di Nusantara. Pantun muncul lebih awal daripada jenis puisi yang lain. Pantun ialah karangan berangkap yang terdiri daripada dua bahagian, iaitu bahagian pembayang atau sampiran dan bahagian maksud. Pantun seringkali dikaitkan dengan masyarakat Melayu kerana penggunaan pantun yang meluas dalam masyarakat Melayu itu sendiri hinggakan wujud tanggapan bahawa pantun merupakan cerminan bagi kehidupan masyarakat Melayu. Pantun yang seringkali dikatakan sebagai cerminan masyarakat Melayu boleh diselidiki menerusi keserlahan pemikiran masyarakat Melayu. Ini kerana dengan cerminan pantun dalam masyarakat Melayu adalah refleks daripada kehidupan masyarakat Melayu itu sendiri.
Pemikiran orang Melayu merupakan salah satu daripada cerminan masyarakat Melayu. Melalui pantun yang dihasilkan oleh orang Melayu bukan hanya untuk sekadar pembinaan struktur ayat tetapi pantun yang dihasilkan membawa pemikiran-pemikiran yang tersirat dan perlu difahami oleh masyarakat. Pemikiran yang dibawa ke dalam pantun ini adalah bagaimana masyarakat Melayu itu berfikir, bertindak dan melaksanakan sesuatu keputusan. Lalu, segala pemikiran ini dibawa ke dalam bentuk pantun untuk diterjemahkan pemikiran dan cara berfikir masyarakat Melayu yang amat mendalam, kreatif dan kritis. Di dalam pantun ini juga, masyarakat Melayu meluahkan emosi dan perasaan mereka. Contohnya, tentang luahan perasaan sayang, cinta dan kasih ke dalam bentuk pantun. Maka, pemikiran dan emosi itu datangnya daripada persekitaran atau perkara yang benar-benar berlaku dalam masyarakat lalu diadaptasikan ke dalam bentuk pantun yang membawa kepada cerminan gaya hidup masyarakat Melayu yang penuh sopan dan tertib.
Di samping itu juga, pemikiran orang Melayu sebagai cerminan orang Melayu juga menguji ketangkasan berfikir. Terdapat juga pantun-pantun yang berupa teka-teki untuk menguji ketangkasan berfikir di samping menghiburkan hati. Contohnya, pantun teka-teki ini amat popular di Sabah iaitu di bandaraya Kota Kinabalu. Soalan yang berbentuk pantun akan mengemukakan rima akhir yang sama iaitu a,a,a,a. Lalu, mereka akan diberi peluang untuk menjawab soalan di dalam bentuk pantun tersebut. Pantun teka-teki ini dianggap sebagai pantun yang berbentuk hiburan, kegiatan riadah minda, mencabar pemikiran sambil memerah otak berfikir untuk meneka jawapan. Contoh pantun teka-teki adalah seperti di bawah :
Haiwan tidak terbang,
     Di tanah dia bersarang,
Biar ada melanggar,
     Tidak takut jatuh.
Jawapan : Lipan
Selain itu, pantun yang menjadi hiburan dan jenaka juga adalah cerminan masyarakat Melayu. Hal ini demikian kerana masyarakat Melayu dahulu melahirkan perasaan riang ria iaitu jenaka melalui pantun. Misalnya, kanak-kanak menggunakan pantun ketika bermain. Manakala, bagi orang dewasa pula mereka berpantun untuk menghiburkan hati setelah penat bekerja. Bahkan, kadangkala mereka akan berbalas-balas pantun. Daripada hiburan ini, masyarakat Melayu yang seharian bekerja melarikan diri daripada penat lelah, kesibukan kerja di siang hari dengan menjadikan pantun sebagai medium hiburan utama pada zaman dahulu. Melalui pantun yang dijadikan hiburan dan jenaka ini, dalam setiap baris-baris pantun ini mempunyai unsur-unsur kelucuan yang bertujuan untuk menghiburkan hati setelah penat membanting tulang. Golongan ini akan memasukkan unsur-unsur alam iaitu tumbuhan dan haiwan atau yang berkaitan dengan bidang pekerjaan mereka dalam memberi perlambangan kepada pantun mereka. Ini dapat dibuktikan bahawa pantun yang menjadi hiburan dan jenaka adalah sebagai cerminan orang Melayu seperti di bawah:
Mari pasang pelita,
    Pelita dekat unggun,
Daripada duduk saja
    Mari kita lawan berpantun.
Penyampaikan nasihat juga menjadikan pantun sebagai cerminan orang Melayu. Masyarakat Melayu biasanya menyelitkan unsur nasihat dan ajaran agama dalam pantun untuk memberi kesedaran kepada seseorang. Penyampaian nasihat ini turut menjadi cerminan orang Melayu kerana mempamerkan keindahan bahasa yang memancarkan nilai masyarakat Melayu. Gambaran struktur pantun yang ringkas, tidak kompleks yang mempunyai nilai sindiran atau berkias turut digunakan. Ini bermaksud masyarakat Melayu biasanya amat sensitif apabila ditegur secara terus terang. Oleh itu, unsur teguran dan sindiran itu diselitkan dalam pantun yang bertujuan untuk nasihat terutamanya oleh golongan tua kepada golongan muda. Bahasa teguran yang digunakan adalah lembut namun makna yang disampaikan mempunyai maksud yang mendalam dan bermakna. Jadi, nasihat yang diberikan berunsurkan halus dan tajam untuk ditujukan kepada seseorang. Cerminan yang dihasilkan melalui penyampaian nasihat ini akan meninggalkan kesan yang mendalam kepada golongan muda terutamanya kerana sindiran yang diperkatakan disampaikan secara halus dan berseni. Ini dapat dibuktikan dengan pantun di bawah:
Mari dijemur kain jelujur,
    Kain jarang warnanya perang,
Orang jujur kerap terbujur,
    Orang curang sinarnya terang.
Pantun juga seringkali menjadi cerminan orang Melayu yang telah terkenal dengan adat dan budaya yang menebal dalam diri. Ini demikian kerana pantun juga menjadi cerminan orang Melayu dalam menyampaikan hajat. Ini bermaksud, pantun sebagai alat untuk berkomunikasi dalam adat istiadat atau majlis tertentu. Dalam istiadat meminang atau perkahwinan masyarakat Melayu, pantun sering digunakan sebagai pembuka bicara ataupun menyampaikan hajat di hati. Melalui majlis peminangan yang dijalankan oleh masyarakat Melayu, adat dan tata tertib yang sopan telah sebati dengan diri orang Melayu yang menggunakan bahasa yang indah, pergaulan yang sopan dan pemikiran yang tajam. Lalu, aspek ini digunakan di dalam pantun semasa majlis peminangan dan ini telah menjadi cerminan atau pantulan adab dan tata terbit orang Melayu ke dalam pantun. Oleh itu, penggunaan bahasa yang lembut dan sopan dalam kehidupan seharian diserap dalam pantun. Maka, lahirlah perasaan kasih sayang dalam menyampaikan hajat dalam proses peminangan. Inilah yang dikatakan refleks dari kehidupan masyarakat Melayu dalam cerminan pantun. Ini dapat dibuktikan dengan pantun di bawah:
Batang padi batang langsat,
    Padi bunting tumbuh di laman,
Datang kami datang berhajat,
    Ingin menyunting bunga di taman.

Kesimpulannya, pantun adalah puisi asli milik orang Melayu yang telah membawa pelbagai cerminan dan refleks kepada orang Melayu itu sendiri. Dengan adanya cerminan orang melayu melalui pantun ini, martabat orang melayu berada di tahap yang lebih tinggi kerana memiliki khazanah sastera yang memberi gambaran tentang keadaan dan keistimewaan masyarakat Melayu. Pantun yang telah lama dianggap sebagai cerminan orang Melayu ini telah membawa pemikiran masyarakat Melayu yang kreatif dan menguji ketangkasan pemikiran, sebagai hiburan dan jenaka, penyampaian nasihat dan cerminan adat dan budaya orang Melayu dalam majlis peminangan.

No comments:

Post a Comment