Tuesday, 9 September 2014

COLOUR YOUR DAY

How we spend our lives???
 

 When you have a rainbow deep down in your heart, you know you're a part of that wonderful and colourful life.

Three month internship at Radio Televisyen Malaysia (Langkawi.fm) give a wonderful experience...

This is the way i draw my internship! Let's enjoy! Let's draw canvas of life!
Personaliti Hari Ini with Sofi Jikan "Wa Sengat Sama Lu"

Tutorial Make Up by Kak Ija and Kak Ayu... Thanks!

1st on air with DJ Suria

Kibaran Jalur Gemilang with RTM staff at Royal Keratong

104.8 LangkawiFM. Yes!It's For You


Three of us at Langkawi Tourist Academy!

Have a good appearance maybe...hehe


Many course that we have at LTA! Let's register...Come!

SEE!!!Kak ayu make my eyes like Arabian!

A busy day...the second day at RTM

First day arrive at here!Now this is my world

Peace!!!

Try my intonation! Very failed.. :-(

Sher : Nisa, did you take a breakfast today?
Nisa : Not yet, how about you ija?
Ija : Done...just a pieces of sandwich and a cup of milk!

Make over on progress

Di sini lahirnya sebuah cinta! 57 year Malaysian Day

Recording Sugar and Spice at Westin Langkawi

SEE our hand! Gorgeous

As a reporter maybe


With Kak Eisya at Pulau Tuba

3 of us : Langkawi! Jitra! Lahad datu!

Hello!


A part of work!

Bebaskan gaza at Masjid Al Hana

MOU Kolej Komuniti Langkawi and Kolej Komuniti Surathani, Thailand!

World Equestrian!

 

Tuesday, 20 May 2014

USMAN AWANG DAN PEMIKIRAN DALAM PUISINYA

Usman Awang atau nama sebenarnya adalah Wan Osman Wan Awang. Beliau  telah menukar namanya kepada Usman Awang. Usman Awang dikenali juga dengan nama penanya iaitu Tongkat Warrant. Pendidikan yang diterima oleh Usman Awang hanya setakat sekolah Melayu. Situasi dan keluarganya yang miskin tidak membolehkan beliau untuk meneruskan pendidikannya. Beliau disekolahkan di Kuala Sedili (1936), Mersing (1937), dan Bandar Maharani (1940) hingga lulus darjah enam. Semasa pendudukan Jepun di Tanah Melayu pada tahun 1942, Usman Awang menjadi petani di Segamat. Tidak lama kemudian beliau menjadi buruh paksa Jepun dan selama enam bulan di Singapura, beliau berjaya melepaskan diri dan pulang ke Segamat.

Usman Awang pernah menjadi "budak pejabat" di Pejabat Tali Air Segamat dalam zaman Jepun dan kemudiannya memasuki Pasukan Polis Jepun (Botai), tetapi selepas beberapa minggu menjalani latihan, Jepun menyerah kalah. Usman Awang menjadi anggota polis apabila Inggeris kembali memerintah Tanah Melayu pada tahun 1946. Beliau menjalani latihan di Johor Bharu sebelum menjalankan tugasnya di Melaka. Pada tahun 1951, beliau meletakkan jawatannya sebagai anggota polis dan berhijrah ke Singapura bersama-sama Jamil Sulung. Di Singapura, Usman diterima bekerja sebagai pembaca pruf dengan Melayu Raya selama enam bulan, kemudian menjadi pemberita sebelum menjadi sidang pengarang Mingguan Melayu.

Pada tahun 1952, Usman Awang ditawarkan bekerja dengan Utusan Melayu, sebagai sidang pengarang akhbar Utusan Kanak-kanak, kemudian diangkat menjadi pengarang akhbar Utusan Zaman dan Majalah Mastika. Selepas Tanah Melayu mencapai kemerdekaan, Utusan Melayu berpindah ke Kuala Lumpur, dan Usman Awang turut serta dalam memegang jawatan yang sama. Akibat peristiwa pemogokan Utusan Melayu dalam tahun 1961 Usman Awang berhenti dari Utusan Melayu dan terpaksa menganggur buat beberapa waktu.

Pada tahun 1962, Usman diterima bekerja dengan Penerbitan Federal dan setahun kemudian berkhidmat pula dengan Dewan Bahasa dan Pustaka, mula-mula sebagai sidang pengarang Dewan Bahasa, dan kemudian pengarang Dewan Masyarakat, Dewan Sastera dan Dewan Budaya. Jawatan beliau di Dewan Bahasa dan Pustaka ialah sebagai Pegawai Penyelidik Kanan, Bahagian Pembinaan dan Pengembangan Sastera. Mulai Mei 1982, beliau turut menjadi Ketua Bahagian ini sehingga bersara pada bulan Julai 1985. Kemunculan Usman Awang sebagai seorang penulis dalam tahun 1948 menempatkannya sebaris dengan penulis-penulis Melayu yang sedang giat memperkata masalah masyarakat terutama tentang kemiskinan, tekanan penjajah dan ancaman akibat kedatangan orang-orang asing.

Melalui puisi yang telah dihasilkan oleh Usman Awang, antara pemikiran yang dapat dilihat melalui penghasilan puisinya ialah Usman Awang sebagai pemikir yang dididik oleh pengalaman. Pandangan dan pendapatnya terhadap kehidupan bermula daripada jiwanya yang perasa. Pemikiran Usman Awang di dalam puisinya bermula dengan pengalaman. Beliau merupakan seorang yang terdidik oleh pengalaman hidupnya sejak beliau kecil lagi. Usman Awang lebih dekat untuk merasai kepayahan masyarakatnya. Latar belakang kelahiran dan kekeluargaan telah membentuk pandangannya tentang hidup. Berdasarkan kehidupannya yang dilahirkan sebagai anak nelayan, hidupnya yang mengalami kesempitan dan kesusahan membuatkannya menjadi seorang yang kuat semangat dan ingin mengubah nasib hidupnya. Lalu, beliau menulis puisinya berdasarkan pengalaman hidupnya yan pernah dialami. Penglibatan Usman Awang secara langsung dalam lapangan penulisan dan pandangan serta kesedaran politik yang dimiliki, menjadikannya orang yang tegas dengan pendirian bahawa sastera boleh memainkan peranan dalam membela nasib rakyat. Sejak mula, Usman Awang telah menyatakan sikap untuk berusaha membina bahasa dan kesusasteraan yang diyakini merupakan alat penting bagi pembinaan masyarakat.

Selain itu, pemikiran dalam puisi Usman Awang juga melihatkan bentuk puisinya yang berjejak kepada tanah subur kesusasteraan tradisional tetapi selalu diperbaharui untuk ekspresi zamannya. Bentuk-bentuk puisi Usman awang ialah ranting-ranting baru yang tumbuh langsung dari akar sastera Melayu lama. Dari antara penyair kita Usman Awanglah yang terakrab sekali dengan tradisi yang tua lagi pelbagai itu. Beliau memperlihatkan kepekaan yang alamiah lagi halus terhadap pantun, syair, mantera, yang juga telah memasuki dan menjadi sebahagian dari peribadi sasteranya. Dengan kepekaan yang sama juga beliau telah menggunakannya kembali dalam pelbagai cara dan penyesuaian untuk dipadankan kepada zaman moden. Malah melalui suatu kajian perkembangan bentuk-bentuk karya Usman Awang kita dapat menggalur alir modenisasi dalam puisi Malaysia dan masyarakat Melayu umumnya, melalui suasana jiwa yang dibawakan oleh penyair itu.

Dalam tahun 1948 hingga awal 1950-an sajak-sajak Usman memperdengarkan dengan jelas sekali nada, suara, irama dan pergerakan baris yang mendengungkan kembali dengan setia dan jujur sifat dan peribadi puisi Melayu lama. Yang sering Usman Awang ungkapkan ialah unsur-unsur bentuk dan di dalam bunyi dan sanjak-sanjak pantun serta syair. Oleh itu dalam sajak-sajak “Jiwa Hamba”, “Gadis Suci” dan “Kami Tetap Bekerja” beberapa unsur bentuk (walaupun biasanya tidak keseluruhannya) dikutip dan diadunkan kembali. Kadang-kadang terdapat jumlah baris yang sama dengan pantun, seperti dalam “Jiwa Hamba”, tetapi yang selalu terdapat adalah pemadanan bentuk lama yang telah disesuaikan buat keperluan semasa.

Di samping itu, antara pemikiran lain Usman Awang dalam puisinya ialah cara Usman Awang melenturkan bahasa Melayu untuk suatu suara khusus yang dapat pula mengungkapkan pelbagai suasana hati atau situasi bangsanya, dari yang merdu-pantun dalam puisi awalnya hinggalah kepada sinis-kota dalam karya-karya terakhirnya. Bentuk pantun sahaja sudah menawan hati. Dan meskipun ia kadangkala berisi bayangan atau kiasan namun ia mudah ditangkap dan dimengertikan kerana bahasa yang digunakan untuk pantun adalah dari kata-kata yang terdapat dalam kehidupan hari-hari. Pada pantun bukan saja dipelajari suatu bentuk yang indah dan padat, tetapi suatu falsafah pemilihan. Usman memilih bentuk rakyat, yang katanya mudah dimengertikan dan sudah pun lama menjadi alat ucapan dan pemikirannya. Dengan memilih bentuk ini beliau memilih untuk mendekati dirinya kepada rakyat. Dan penyair berkembang dengan pemilihan ini.

Kekuatan puisi-puisi Usman Awang bukan sahaja terletak dari segi tema, perutusan atau mesej. Bentuk karya Usman Awang penting kerana bukan sahaja pada keseniannya tetapi juga sebagai penyampai pemikiran. Pengkaji mendapati mulanya bentuk puisi-puisi Usman Awang banyak dipengaruhi oleh pantun pada tahun-tahun selepas Perang Dunia Kedua menjadi bentuk terpenting. Seterusnya beliau menyesuaikan bentuk ini dengan zamannya yang sedang berubah dan dengan persoalannya yang semakin berkembang. Beliau dikatakan berjaya menyesuaikan bentuk tradisional ini dengan zaman peribadinya. Para pengkaji mendapati sumber bahasa Usman Awang ialah bahasa yang berpusat kepada pantun, tetapi ditambah juga dengan bahasa-bahasa syair, gurindam, hikayat dan juga bahasa puisi yang digunakan dalam tahun 1930-an. Di dalam berkarya, Usman Awang lazimnya menggunakan bahasa yang lembut dan memberi kesan yang mesra. Usman dianggap sebagai pengguna bahasa yang berupaya menghindar diri daripada pengaruh negatif bahasa asing. Beliau meletakkan bahasa yang bersih sebagai unggul sasteranya berdasarkan kemurniaan bahasa Melayu di dalam karya klasik Melayu. Usman Awang dikatakan satu-satunya penyair yang mempraktikkan ungkapan bahasa jiwa bangsa. Dengan ketiadaan bahasa kasar, keras atau kesan pada karya-karyanya, Usman Awang berupaya untuk menyampaikan mesejnya secara tidak langsung atau dalam kiasan, kadang-kadang halus dan tersembunyi.

Tetapi Usman Awang juga berubah dengan suasana zamannya. Apabila rakyat mulai bebas dengan unsur-unsur verse libre mendapat sambutan, maka Usman Awang juga berubah, walaupun perlahan-lahan mempercayai bahawa puisi menjadi sebahagian dari seluruh masyarakatnya dan penyair harus peka kepadanya oleh kerana ia memperjuangkan masyarakat itu. Usman bergerak dan berubah dengan keperluannya. Dalam karya-karya beliau pada tahun 1950-an Usman Awang membawakan pelbagai pengalaman masyarakat dan kehalusan tradisi lama Melayu. Beliau selalu sedar bahawa bentuk yang dihasilkan haruslah dinamis, hidup dan berkembang menyaingi masyarakatnya. Puisi berinteraksi dan mentafsir kenyataan. Kesedaran ini diperlihatkan juga dalam membuat perubahan suku kata dan irama sajak-sajaknya. Tradisi memberinya akar Melayu, tetapi udara dunia menumbuhkan pucuk-pucuk segar yang diterimanya dengan kesyukuran. Di antara kajian-kajian bentuknya, terdapat beberapa buah sajak yang padat kental dan kecil yang menurunkan lenggang lapang lagu lama kepada kesedaran terhadap inti kata dan pusat makna. Suatu contoh yang baik adalah “Dato Onn”, tetapi kesedihan itu dipendam bagai dalam dada pahlawan yang kental akan kenyataan- tiada rayuan dan tiada rintihan seperti yang kita lihat dalan sajak “Ke Makam Bunda” misalnya.

Antara pemikiran lain dalam puisi Usman Awang ialah kemarahannya dan luahan hatinya disampaikan dalam bentuk penulisan. Usman Awang penting sebagai kritikawan sosial/politik untuk Malaysia, terutama pada zaman yang jarang menimbulkan pemikiran yang berani mengucapkan isi hatinya. Bertambah penting pula beliau apabila kritikannya dipancarkan kepada kenyataan yang difahami dengan rasa manusianya. Usman tidak pernah terheret ke dalam politik sempit atau dunia slogan yang mengulangi kata-kata kosong. Beliau selalu berusaha untuk melihat dari perspektif yang adil, menyebelahi manusia yang tidak dapat menyatakan masalah mereka dan menghukum penindas. Tradisi Melayu lama adalah teras karya Usman, bukan saja dalam bentuknya tetapi juga dalam caranya menyampaikan gambaran, perasaan dan pendapatnya. Teknik-teknik puisi yang sering kita temui dalam sastera lama juga kita temui dalam puisi Usman Awang, terutama yang berhubungan dengan sifat-sifat lisannya.

Seperti pada penyair tradisional, pada Usman Awang bahasa adalah alat magis, yang dapat mempengaruhi pembaca/pendengar dan dapat dirubah perasaan dan pemikirannya oleh penyair. Dalam puisi awal Usman Awang kuasa bahasa ini datang dari nada yang rendah, beralun lembut dan harmonis. Contohnya pengenalan dalam “Gadis Ayat Suci” misalnya,
Suara yang manis dalam bisik daun-daun,
Beralun lagu Tuhan di sayap angin malam,
Redup menyusup di bawah langit bertirai sepi,
Gadis tetangga (simpatiku pada matanya yang buta)
Dari sinar hatinya membaca ayat-ayat suci

Dalam usaha Usman Awang menyampaikan pemikiran di dalam puisinya, Usman Awang juga cuba menyampaikan pemikirannya melalui pemilihan tema yang seringkali mengangkat golongan masyarakat yang tertindas dan malang. Usaha menyampaikan tema itu dari jiwanya yang peka, yang lekas tersentuh dengan keadaan dan kejadian yang menyayat hatinya. Tetapi ini tidak bererti bahawa Usman Awang cuma menggunakan kekuatan emosinya sahaja untuk menggambarkan keadaan dan persoalan hidup yang malang itu. Beliau juga menyoroti masalah-masalah itu daripada segi intelektual, membangkitkan implikasi sosiologi, politik, peraturan hidup sosial yang tidak seimbang. Pada mulanya dia melihat masalah-masalah di sekitar tanah airnya, di sekitar alam yang terdekat dengannya Usman Awang menceritakan kisah Nelayan, Kaum Buruh, Penjual Air Btau, Penjual Pisang di Kaki Lima atau Pak Utih secara terus terang. Kemudiannya beliau mula melihat masalah ini dari satu sudut yang lebih besar, mencakupi manusia di seluruh dunia, orang kulit hitam di Amerika Syarikat dan sebagainya dan melihat penindasan secara lebih sofistikated.


Kesimpulannya, Usman Awang telah meluahkan segala pemikirannya dalam hasil puisi yang telah dihasilkan. Beliau meluahkan pemikirannya dengan menjadi pemikir yang dididik oleh pengalaman, puisinya selalu berjejak kepada tanah kesuburan tradisional, pemikiran dan cara Usman Awang melenturkan bahasa, menyampaikan sindiran dan kemarahan dalam bentuk karya serta pemikiran berkaitan tema yang mengangkat golongan masyarakat yang tertindas. Usahanya untuk menemukan suara yang sesuai dengan pendirian dan masyarakatnya yang selalu berubah-ubah dalam melalui tahap modenisasi di Malaysia. Terdapat tiga tahap besar dalam perkembangan dan pemikiran bentuk karya Usman Awang. Pertama ialah tahap awalnya yang membawakan unsur-unsur puisi lama secara jelas dan setia, kedua ialah suatu zaman yang panjang, yang ditandai oleh pelbagai eksperimen penyesuaian dan percubaan cara berbicara dan akhir sekali penemuan suatu bentuk yang agak stabil pada tahun-tahun 1970-an dan dihalusi lagi pada tahun-tahun 1980-an. 

Wednesday, 14 May 2014

IBN MUQLAH TOKOH KALIGRAFI



DEFINISI KALIGRAFI
Kaligrafi ialah seni tulisan yang indah. Perkataan kaligrafi berasal dari perkataan Yunani “kalios” yang bererti indah “graphia” bermaksud coretan atau tulisan. Jadi kaligrafi membawa maksud tulisan yang indah. Indah dalam erti kata lain ialah mempunyai nilai-nilai kehalusan dan kesenian.
Di sini selain mesej kebenaran yang terkandung, bentuk tulisan juga harus indah. Istilah kaligrafi digunakan untuk semua jenis tulisan, tetapi yang diketahui selama ini adalah untuk tulisan Latin. Sedangkan yang diiktiraf sebagai tulisan kaligrafi sebenarnya hanya dua iaitu Khat dan Tulisan Cina.

LATAR BELAKANG IBN MUQLAH
Tokoh kaligrafi yang mashyur ini dilahirkan pada 868 M. di Baghdad. Nama sebenarnya ialah Abu Ali Muhamad bin Ali. Kerjayanya bermula sebagai pengutip cukai tanah di Fars. Apabila Ibn al-Furat menjadi wazir pada 908 M, kemahiran Ibn Muqlah semakin cerah. Beliau dilantik sebagai setiausaha petadbiran pusat. Pengetahuannya dalam bidang geometrik banyak membantunya dalam mengubah suai tradisi kaligrafi.
            Pada awalnya murid Ibrahim al-Syajari bertanggungjawab membentuk Ibn Muqlah menjadi ahli kaligrafi yang mashyur. Kemashyurannya kerana berjaya menyumbangkan skrip kaligrafi yang istimewa al-khat al-mansub’ yang kemudiaanya telah disempurnakan dengan jayanya oleh Ibn al-Bawwab. Sumbangan Ibn Muqlah yang bermakna ialah peraturan-peraturan menggunakan lingkungan, garisan lurus serta titik rombit bagi melahirkan bentuk-bentuk huruf yang yang betul serta gaya enam tulisan yang dikenali sebagai ‘Sitta’-Thuluth, Naskh, Rihan, Muhaqqah, Tauqi dan Riq’ah yang berkekalan berabad- abad lamanya. Di tangan Ibn Muqlah khat Naskah telah mencapai kesempurnaannya. Kedua-dua tokoh khat Naskah dengan menentukan ukuran panjang-pendek dan jarak huruf, serta gaya dan iramanya dengan rapi sekali. Keadah penulisan khat tersebut sebenarnya menunjukkan penguasaan sesuatu huruf tersebut.

KEHEBATAN IBN MUQLAH
Kekuatan peraturan huruf-huruf yang dikemukakan oleh Ibn Muqlah adalah bersandarkan titik rombik selain keseimbangan matematik. Dalam hal ini beliau menegaskan bahawa kalam (pena) mestilah mempunyai ciri-ciri yang membolehkan kekuatan huruf-huruf itu menjelma. Sebagaimana yang telah dijelaskan oleh Drs. D. Sirajuddin:
Ibn Muqlah, umpamanya memerincikan cara-cara pemontongan kepada sifat, ukuran panjang, bentuk alas pada hujung potongan, pembuangan salur tinta. Dengan segala ketelitian, setiap jenis tulisan telah dirancangkan untuknya jenis-jenis kalam yang serasi menurut sentakan masing-masing.
Ibn Muqlah juga telah menggariskan beberapa ciri bagi menentukan sesuatu tulisan itu sebagai benar. Antara ciri itu ialah ketepatan, keseimbangan, kesempurnaan, kepadatan serta kelancaran. Manakala dalam mengemukakan reka letak yang baik pula memerlukan beberapa pertimbangan yang harus diambil kira. Antaranya keselarasan dan susunan. Kesemua ciri dan peraturan yang telah ditetapkan oleh Ibn Muqlah bukan sahaja meletakkan Ibn Muqlah sebagai pengasas kepada seni kaligrafi rasmi bahkan kaedahnya telah menjadi ikutan kepada peminat kaligrafi yang lain.

KARYA IBN MUQLAH
Ibn Muqlah lebih menguasai tulisan Kursif daripada tulisan Kufi. Walau bagaimanapun tulisan Kufi masih menjadi bukti kepada umum bahawa beliau mampu menguasainya. Beberapa karyanya ditulis dalam dua jenis tulisan tersebut. Antara karya tulisannya dengan khat Naskah dan Thuluth terdapat di muzium Iraq, Baghdad. Dikatakan juga sebuah mashaf Al-Quran di masjid Sevilla Andalusia merupakan hasil karya beliau.

PENDERITAAN IBN MUQLAH
Sungguhpun kegemilangan Ibn Muqlah dalam lapangan kaligrafi mencapai satu tahap yang menakjubkan, tetapi kehidupannya penuh dengan tragedi yang menyayat hati. Jawatan Wazir (perdana menteri) kepada tiga khalifah Abbasiyah iaitu Al- Muqtadir (908-32m), Al-Qahir (932-4 M) dan Radhi (934-40 M) tidak menjamin hidupnya untuk mewah dan bahagia. Dalam kegelisahan akibat krisis kepimpinan khalifah beliau sering difitnah dan teraniaya. Beliau pernah ditangkap dan dipenjara selama dua tahun, sebelum dibuang negeri ke Parsi.
Kemudiaanya di fitnah lagi sehingga jawatannya dipecat dan hartanya telah diambil. Kemuncak dari penderitaannya ialah apabila tangan kanannya telah dipotong. Tetapi khalifah al-Radhi kemudiannya menyesal dan meminta agar tangan Ibn  Muqlah di ubati. Dengan tangannya yang  cacat itulah Ibn meneruskan sisa-sisa kehebatannya dalam lapangan penulisan kaligrafi. Penderitaaan Ibn Muqlah tidak berakhir disitu. Tindakan kejam ke atasnya terus dijatuhkan oleh Ibn Raiq dengan memotong lidah beliau serta menyumbatnya ke penjara. Sisa-sisa kehidupanya ialah dipenjara. Setelah beberapa tahun di penjara hidup Ibn Muqlah berakhir dengan kematiannya pada tahun 940 M/328 H. Kegemilangannya tidak pula menenggelamkan seluruh kegemilangan kaligrafi yang telah dirintis.
PEWARIS KALIGRAFI
Ibn Muqlah meninggalkan murid-murid dan pengikut-pengikut yang meneruskan kegiatan kesenian kaligrafi islam di tengah-tengah kemashyuran gurunya. Antara murid-muridnya yang terkenal ialah Ibn al-Simsimny (415 H.) dan Ibn Asad al-Ghafigi (410 H) yang melahirkan muridnya yang terkenal Abu Hasan Ali bin Hilal (Ibn al-Bawwab)

PANTUN CERMINAN ORANG MELAYU

Menurut buku Penghayatan Antologi Sehijau Warna Daun hasil karya Othman Puteh, Ali Majod dan Sharif Putera, pantun ialah puisi asli milik masyarakat Melayu di Nusantara. Pantun muncul lebih awal daripada jenis puisi yang lain. Pantun ialah karangan berangkap yang terdiri daripada dua bahagian, iaitu bahagian pembayang atau sampiran dan bahagian maksud. Pantun seringkali dikaitkan dengan masyarakat Melayu kerana penggunaan pantun yang meluas dalam masyarakat Melayu itu sendiri hinggakan wujud tanggapan bahawa pantun merupakan cerminan bagi kehidupan masyarakat Melayu. Pantun yang seringkali dikatakan sebagai cerminan masyarakat Melayu boleh diselidiki menerusi keserlahan pemikiran masyarakat Melayu. Ini kerana dengan cerminan pantun dalam masyarakat Melayu adalah refleks daripada kehidupan masyarakat Melayu itu sendiri.
Pemikiran orang Melayu merupakan salah satu daripada cerminan masyarakat Melayu. Melalui pantun yang dihasilkan oleh orang Melayu bukan hanya untuk sekadar pembinaan struktur ayat tetapi pantun yang dihasilkan membawa pemikiran-pemikiran yang tersirat dan perlu difahami oleh masyarakat. Pemikiran yang dibawa ke dalam pantun ini adalah bagaimana masyarakat Melayu itu berfikir, bertindak dan melaksanakan sesuatu keputusan. Lalu, segala pemikiran ini dibawa ke dalam bentuk pantun untuk diterjemahkan pemikiran dan cara berfikir masyarakat Melayu yang amat mendalam, kreatif dan kritis. Di dalam pantun ini juga, masyarakat Melayu meluahkan emosi dan perasaan mereka. Contohnya, tentang luahan perasaan sayang, cinta dan kasih ke dalam bentuk pantun. Maka, pemikiran dan emosi itu datangnya daripada persekitaran atau perkara yang benar-benar berlaku dalam masyarakat lalu diadaptasikan ke dalam bentuk pantun yang membawa kepada cerminan gaya hidup masyarakat Melayu yang penuh sopan dan tertib.
Di samping itu juga, pemikiran orang Melayu sebagai cerminan orang Melayu juga menguji ketangkasan berfikir. Terdapat juga pantun-pantun yang berupa teka-teki untuk menguji ketangkasan berfikir di samping menghiburkan hati. Contohnya, pantun teka-teki ini amat popular di Sabah iaitu di bandaraya Kota Kinabalu. Soalan yang berbentuk pantun akan mengemukakan rima akhir yang sama iaitu a,a,a,a. Lalu, mereka akan diberi peluang untuk menjawab soalan di dalam bentuk pantun tersebut. Pantun teka-teki ini dianggap sebagai pantun yang berbentuk hiburan, kegiatan riadah minda, mencabar pemikiran sambil memerah otak berfikir untuk meneka jawapan. Contoh pantun teka-teki adalah seperti di bawah :
Haiwan tidak terbang,
     Di tanah dia bersarang,
Biar ada melanggar,
     Tidak takut jatuh.
Jawapan : Lipan
Selain itu, pantun yang menjadi hiburan dan jenaka juga adalah cerminan masyarakat Melayu. Hal ini demikian kerana masyarakat Melayu dahulu melahirkan perasaan riang ria iaitu jenaka melalui pantun. Misalnya, kanak-kanak menggunakan pantun ketika bermain. Manakala, bagi orang dewasa pula mereka berpantun untuk menghiburkan hati setelah penat bekerja. Bahkan, kadangkala mereka akan berbalas-balas pantun. Daripada hiburan ini, masyarakat Melayu yang seharian bekerja melarikan diri daripada penat lelah, kesibukan kerja di siang hari dengan menjadikan pantun sebagai medium hiburan utama pada zaman dahulu. Melalui pantun yang dijadikan hiburan dan jenaka ini, dalam setiap baris-baris pantun ini mempunyai unsur-unsur kelucuan yang bertujuan untuk menghiburkan hati setelah penat membanting tulang. Golongan ini akan memasukkan unsur-unsur alam iaitu tumbuhan dan haiwan atau yang berkaitan dengan bidang pekerjaan mereka dalam memberi perlambangan kepada pantun mereka. Ini dapat dibuktikan bahawa pantun yang menjadi hiburan dan jenaka adalah sebagai cerminan orang Melayu seperti di bawah:
Mari pasang pelita,
    Pelita dekat unggun,
Daripada duduk saja
    Mari kita lawan berpantun.
Penyampaikan nasihat juga menjadikan pantun sebagai cerminan orang Melayu. Masyarakat Melayu biasanya menyelitkan unsur nasihat dan ajaran agama dalam pantun untuk memberi kesedaran kepada seseorang. Penyampaian nasihat ini turut menjadi cerminan orang Melayu kerana mempamerkan keindahan bahasa yang memancarkan nilai masyarakat Melayu. Gambaran struktur pantun yang ringkas, tidak kompleks yang mempunyai nilai sindiran atau berkias turut digunakan. Ini bermaksud masyarakat Melayu biasanya amat sensitif apabila ditegur secara terus terang. Oleh itu, unsur teguran dan sindiran itu diselitkan dalam pantun yang bertujuan untuk nasihat terutamanya oleh golongan tua kepada golongan muda. Bahasa teguran yang digunakan adalah lembut namun makna yang disampaikan mempunyai maksud yang mendalam dan bermakna. Jadi, nasihat yang diberikan berunsurkan halus dan tajam untuk ditujukan kepada seseorang. Cerminan yang dihasilkan melalui penyampaian nasihat ini akan meninggalkan kesan yang mendalam kepada golongan muda terutamanya kerana sindiran yang diperkatakan disampaikan secara halus dan berseni. Ini dapat dibuktikan dengan pantun di bawah:
Mari dijemur kain jelujur,
    Kain jarang warnanya perang,
Orang jujur kerap terbujur,
    Orang curang sinarnya terang.
Pantun juga seringkali menjadi cerminan orang Melayu yang telah terkenal dengan adat dan budaya yang menebal dalam diri. Ini demikian kerana pantun juga menjadi cerminan orang Melayu dalam menyampaikan hajat. Ini bermaksud, pantun sebagai alat untuk berkomunikasi dalam adat istiadat atau majlis tertentu. Dalam istiadat meminang atau perkahwinan masyarakat Melayu, pantun sering digunakan sebagai pembuka bicara ataupun menyampaikan hajat di hati. Melalui majlis peminangan yang dijalankan oleh masyarakat Melayu, adat dan tata tertib yang sopan telah sebati dengan diri orang Melayu yang menggunakan bahasa yang indah, pergaulan yang sopan dan pemikiran yang tajam. Lalu, aspek ini digunakan di dalam pantun semasa majlis peminangan dan ini telah menjadi cerminan atau pantulan adab dan tata terbit orang Melayu ke dalam pantun. Oleh itu, penggunaan bahasa yang lembut dan sopan dalam kehidupan seharian diserap dalam pantun. Maka, lahirlah perasaan kasih sayang dalam menyampaikan hajat dalam proses peminangan. Inilah yang dikatakan refleks dari kehidupan masyarakat Melayu dalam cerminan pantun. Ini dapat dibuktikan dengan pantun di bawah:
Batang padi batang langsat,
    Padi bunting tumbuh di laman,
Datang kami datang berhajat,
    Ingin menyunting bunga di taman.

Kesimpulannya, pantun adalah puisi asli milik orang Melayu yang telah membawa pelbagai cerminan dan refleks kepada orang Melayu itu sendiri. Dengan adanya cerminan orang melayu melalui pantun ini, martabat orang melayu berada di tahap yang lebih tinggi kerana memiliki khazanah sastera yang memberi gambaran tentang keadaan dan keistimewaan masyarakat Melayu. Pantun yang telah lama dianggap sebagai cerminan orang Melayu ini telah membawa pemikiran masyarakat Melayu yang kreatif dan menguji ketangkasan pemikiran, sebagai hiburan dan jenaka, penyampaian nasihat dan cerminan adat dan budaya orang Melayu dalam majlis peminangan.

ZA'BA SEBAGAI TOKOH ILMUWAN


LATAR BELAKANG ZA’BA
Za’ba dilahirkan pada 16 September 1895 di Kampung Batu Kikir, Negeri Sembilan. Pendidikannya secara formal bermula pada 1907 di Sekolah Melayu Linggi. Di samping belajar di sekolah itu, Za’ba turut mempelajari bahasa Arab. Persekolahannya tamat pada tahun 1909. Mulai 1910, beliau melanjutkan pelajaran di St. Paul Institution, Seremban hinggalah beliau lulus peperiksaan Senior Cambridge pada 1915.
            Za’ba mula-mula bertugas sebagai guru bahasa Melayu di English College, Johor Bharu pada 1916. Pada 1918 beliau ditukarkan bertugas sebagai guru bahasa Melayu dan penterjemah di Maktab Melayu Kuala Kangsar. Pada 1923, Za’ba bertugas sebagai penterjemah di Pejabat Pelajaran Negeri-Negeri Selat dan Persekutuan Tanah Melayu yang berpejabat di Kuala Lumpur. Setahun kemudian, beliau bertugas di Maktab Perguruan Sultan Idris. Tanjung Malim juga sebagai penterjemah. Setelah perang dunia kedua tamat, Za’ba bertugas pula di Jabatan Perhubungan Raya di Mahkamah Tinggi, Kuala Lumpur.
            Pada 1947, beliau dihantar ke London sebagai pensyarah di School of Oriental and Arfican Studies, University of London dan sekali gus mendapat ijazah daripada universiti tersebut dalam bidang pengajian bahasa Melayu dan bahasa Arab. Apabila pulang ke Tanah Melayu beliau dilantik pula sebagai pensyarah kanan di Universiti Malaya (Singapura).
            Memandangkan jasa-jasa Za’ba yang begitu besar dalam bidang bahasa dan persuratan Melayu, beliau telah dianugerahi gelaran Pendeta pada 1956, sewaktu berlangsungnya Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu di Johor.

ZA’BA SEBAGAI ILMUWAN
Za’ba merupakan seorang anak Melayu yang tidak jemu-jemu mengabdikan diri kepada bahasa dan kesusasteraan Melayu sejak sebelum perang. Karyanya yang paling terkenal Pelita Bahasa Melayu merupakan kitab rujukan utama bagi seluruh masyarakat yang ingin mengetahui bahasa Melayu.
            Beliau berusaha menterjemahkan karya-karya terkenal daripada kesusasteraan asing dengan harapan hasil terjemahannya itu dapat menjadi contoh kepada bangsanya tentang mutu kesusasteraan asing dan semoga mereka mencuba pula menghasilkan karya-karya yang asli dan bermutu seperti itu.
            Za’ba telah menerbitkan Ilmu Mengarang Melayu dan Pelita Bahasa Melayu, kedua-duanya menjadi buku teks sekolah hingga selepas Perang Dunia Kedua. Untuk memperkenalkan kesusasteraan dan kebudayaan Melayu kepada orang-orang asing, Za’ba menyumbangkan beberapa rencana dalam JMBRAS (Journal of the Malayan Branch Royal Asiatic Society).
            Tulisan-tulisannya tentang kemiskinan dan cara-cara mengatasi ekonomi orang Melayu telah muncul lama sebelum para sarjana ekonomi pula memberikan perhatian mendalam terhadap masalah tersebut. Di sinilah terletak kebolehan Za’ba sebagai seorang nasionalis. Beliau pernah berhasrat menerbitkan “Kamus Bahasa Melayu” tetapi hasrat beliau ini digagalkan oleh O.T Dussek. Walau bagaimanapun kemudiannya Za’ba berusaha terus lalu berjaya menerbitkan Daftar Ejaan Melayu Jawi/Rumi.
            Za’ba menghasilkan pelbagai judul buku yang kebanyakkannya menjadi bacaan wajib di sekolah Melayu. Antaranya ialah Persuratan Melayu I (Singapura: Qalam), Persuratan Melayu II (Singapura: Qalam), Persuratan Melayu III (Singapura: Qalam), Rahsia Ejaan Jawi (Singapura: Malaya Publishing House, 1930), Daftar Ejaan Melayu: Jawi/Rumi (Tanjung Malim: Pejabat Karang Mengarang, 1949), Ilmu Mengarang Melayu (Singapura: Malaya Publishing House, 1952), Pelita Bahasa Melayu I hingga III (Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1964) dan Kalung Bunga, Buku II (Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1964).
            Pandangan Za’ba tentang kemunduran orang Melayu sering menjadi rujukan sehingga kini. Pandangan Za’ba ini jelas daripada tulisan-tulisan beliau dalam majalah Qalam (1951-1955) dan juga dalam bukunya Asohan Budi Menerusi Islam (1958). Za’ba berpendapat bahawa masyarakat Melayu mesti mengubah beberapa sifat dan tingkah laku mereka daripada yang negatif kepada yang baik dan terpuji.

SUMBANGAN ZA’BA
Pada 1945, Za’ba dilantik sebagai Yang Dipertua Persatuan Melayu Selangor (PMS). Pada 1947 kerajaan British melantik sebuah suruhanjaya Pelajaran Tinggi (Carr-Saunders Commission) untuk meninjau kemungkinan menubuhkan sebuah univerisiti di Tanah Melayu. Za’ba turut mengemukakan memorandum peribadi berkenaan isu itu.
            Pada November 1952, beliau dilantik sebagai Pensyarah Kanan dan merangkap Ketua Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Malaya. Semasa Za’ba berkhidmat di Universiti Malaya, beliau sentiasa bersedia untuk menyumbangkan baktinya. Pada akhir 1953 Za’ba bersetuju untuk menjadi penaung kepada sebuah persatuan, iaitu Perikatan Persuratan Melayu Selangor. Tahun berikutnya Za’ba bersama Engku Aziz menganjurkan pembentukan sebuah pertubuhan bahsa bagi mahasiswa Melayu di Universiti Malaya.
            Buku-buku dalam siri Pelita Bahasa Melayu (tiga jilid) dan buku Ilmu Mengarang Melayu menjadikannya seorang pakar bahasa dan tulisannya menjadi rujukan penting buat beberapa dekat. Lantaran itu, tulisan Za’ba bukan sahaja menjadi popular dalam kalangan pembaca, malah menarik perhatian pegawai pegawai perisik British juga.
            Za’ba muncul sebagai cendekiawan Melayu yang dihormati sejak 1920-an lagi. Sepanjang kerjayanya selama hampir 40 tahun, beliau bergiat secara aktif dalam bidang penulisan dan pelbagai kegiatan sosial serta politik tanah air. Za’ba merupakan penulis rencana dan esei yang berbakti istimewa dan gigih, sama ada dalam bahasa Melayu atau bahasa Inggeris. Penulisannya yang begitu prolifik mencakupi bidang bahasa, sastera, agama, pendidikan, ekonomi dan politik.

PENGHARGAAN KEPADA ZA’BA
Za’ba memberikan sumbangan yang cukup besar dan cukup bermakna terhadap bahasa Melayu dengan menggariskan peraturan-peraturan nahunya. Beliau turut mengembangkan bahasa Melayu dengan menulis beberapa buah buku, rencana, serta terjemahan. Sebagai seorang nasionalis Melayu yang ulung dan gigih, beliau banyak menulis dan memperkatakan kemiskinan orang Melayu terutama pada zaman sebelum merdeka. Beliau dilihat sebagai bapa dunia intelektual Malaya, tokoh yang merangsang dan merintis dunia kesarjanaan di Malaysia.
            Sebagai mengenang jasanya, beliau dianugerahkan Ijazah Kehormat Doctor of Letters (D.Litt) oleh Universiti Malaya pada September 1959. Pada 1960 beliau ditawarkan pekerjaan di Dewan Bahasa dan Pustaka Brunei dan juga anugerah bintang kebesaran Brunei namun Za’ba menolaknya.
            Setelah itu,beliau menjadi ahli kepada beberapa jawatankuasa, seperti Ahli Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka serta Ahli Kehormat Persatuan Bekas Pelajar Maktab Perguruan Sultan Idris. Sekitar tahun 1960-1962, Za’ba turut memberi syarahan ke serata daerah di Persekutuan Tanah Melayu untuk membantu Kempen Minggu Bahasa dan Kempen Bulan Bahasa yang dilancarkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka.
            Ijazah Kehormat yang sama juga telah dianugerahkan kepada beliau oleh Universiti Kebangsaan Malaysia pada bulan Jun 1973. Sebelum itu, Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Malaysia telah menganugerahi beliau darjah kebesaran Panglima Mangku Negara (PMN) yang membawa gelaran Datuk (kemudiannya Tan Sri) pada 1962. Za’ba memperoleh gelaran Pendeta pada tahun 1956.




Sunday, 4 May 2014

Jadikan hidup seindah rama-rama


Lihatlah rama-rama, ia cantik. Apabila pandangan kita dihiasi rama-rama, kita menjadi suka dan ceria. Hampir semua orang akan tersenyum melihat rama-rama. Ia mengindahkan alam dan menyempurnakan sekuntum bunga. Cubalah tangkap dan pegang rama-rama itu dengan sayapnya. Lihat apa yang melekat di jari kita? Warna dan corak rama-rama itu telah berpindah ke jari-jari kita. Kemudian lepaskan kembali, ia terbang tapi lebih terbuai oleh angin.
Jangka masa hidup rama-rama kurang daripada seminggu namun banyak jasa dan keindahan yang diberikan oleh rama-rama semasa riwayat hidupnya. Jika rama-rama memberikan jasa kepada dunia ini dengan memberikan keindahan dan keharmonian warna-warni sayapnya untuk tatapan manusia, bagaimana pula dengan kita?

Sebagai manusia, telah berpuluh tahun kita hidup di muka bumi ini, pernahkan kita memberikan manfaat yang baik kepada dunia pinjaman Ilahi ini. Manusia hanya mendabik dada, sombong dan riak berjalan di atas bumi pinjaman ini. Manusia berlumba-lumba menunjukkan kesombongan, berkejar-kejaran mengikut kehendak, meninggalkan segala perintah dan suruhan Allah s.w.t dan seringkali alpa akan dunia yang sementara.


Maka, berilah jasa seperti mana kehidupan rama-rama, walaupun hadirnya hanya seketika namun banyak manfaat yang telah ditinggalkan sebelum ia pergi.

Sunday, 6 April 2014

NIKMAT KEHIDUPAN

Nikmat kehidupan yang dikurniakan adalah gambaran Allah SWT amat mengasihi hamba-Nya. Kesusahan hilang dengan kesenangan, kejahilan lenyap dengan pengetahuan, kesakitan terhapus dengan kesihatan dan kegelapan berganti gemerlapan.

Ada manusia cuba menghitung nikmat, membandingkannya dengan kesusahan hidup yang dihadapi, ternyata kemewahan hidup yang Allah kurniakan tidak terkira. Nikmat melihat, mendengar, merasa, berfikir malah berkongsi kasih sayang tidak akan diperoleh jika tiada kuasa yang menganugerahkan.

Tentulah kita tidak boleh menyesali kepayahan dan kesukaran hidup di dunia, malah anggaplah ada hikmah yang menanti sementara iman diuji, tetapi berusahalah untuk mencari kesenangan.

Kadangkala kita tidak sedar apa yang dimiliki hari ini adalah nikmat, bukannya sedia ada untuk setiap manusia kerana ada orang yang tidak dapat merasainya. Sebab itulah kita tidak harus lupa mensyukuri segala kemurahan hati Allah SWT menganugerahkan sebuah kehidupan yang lengkap.


Friday, 28 March 2014

Ujian Yang Hebat Untuk Orang Yang Hebat!!!

Kita sering bertanya kenapa aku yang diuji?
Kita sering merintih kenapa ujian ini terlalu berat untukku?

Sebagai seorang Mukmin, lelaki mahupun wanita akan sering diuji oleh Allah s.w.t samada dirinya, keluarganya ataupun hartanya sehinggalah kita dijemput oleh Allah s.w.t...

Ketika Allah s.w.t rindu pada hambanya, Allah akan menitipkan ujian untuk menguji sejauh mana kemampuan dan kesabaran kita sebagai insan yang beriman.
Ujian Yang Hebat Untuk Orang Hebat !!! Sabarlah...Allah s.w.t sentiasa mengetahui kemampuan kita dalam menghadapi ujian itu..
Saat kita kehilangan kasut, bersyukurlah kita masih mempunyai kaki untuk berjalan
Saat kita kehilangan semangat, pupuklah iman agar sentiasa redha dengan ketentuan dan ujian dariNya..

Tika kita diuji usahlah memohon agar diringankan dugaan sebaliknya mohonlah agar diberi kekuatan dan ketabahan untuk menempuhnya...

Tuesday, 25 March 2014

Menanti Kepulanganmu

Saban hari kami memandang dada langit
Menanti kemunculanmu kembali
Hari demi hari berganti
Dikau tidak jua muncul
Namun harapan kami masih sama

Menanti dan terus menanti
Dengan harapan agar kau memberi sirna
Sirna kepada seluruh warga dunia
Dikau tidak jua kunjung tiba
Namun penantian itu tetap kami nantikan

Misteri kehilanganmu dijejaki
Namun semuanya tidak berhasil
Doa dan solat diteruskan
Seluruh umat Islam bersatu dalam doa untukmu
Di sinilah kekuasa Ilahi melebihi kehebatan Sains

Kerahan tenaga dan  kemajuan Sains kami gunakan
Namun segala yang berlaku melebihi bidang kekuasaan manusia
Siapa kita untuk menidakkan ketentuan Ilahi
Doa berterusan dipanjatkan agar kau kembali
Hanya inginkan kau kembali
Merungkai satu per satu misteri

17 hari kehilanganmu
Tanggal 24 March seluruh dunia menerima beritamu
Lautan Hindi menjadi pusaramu
Segala yang berlaku adalah ketentuan Ilahi
Doa kami sentiasa mengiringimu MH370





MH370  dalam ingatan

Sunday, 16 March 2014

Lidah Tidak Bertulang!!!

Manusia seringkali berbicara tanpa berfikir, 
Manusia seringkali bersuara dengan melulu...
Tanpa berfikir manusia mengeluarkan bicara... 
Tanpa merancang manusia menutur bicara...

Percakapan manusia seringkali mengguris perasaan
Yang kadang kalanya ada hati yang terguris
Seringkali juga memberi kesan kepada orang lain
Dan juga membuatkan ada hati yang bernanah

Kebaikan Sebesar Zarah

Jika kita disakiti
Jika kita dikhianati

Memang sukar untuk menghulurkan kebaikan
Memang sukar untuk memberikan senyuman

Sebagai insan yang bernama manusia kita tidak terlepas daripada disakiti dan menyakiti. Namun untuk memberikan dan menghulurkan kebaikan kepada orang yang menyakiti kita amatlah sukar. 

Didiklah hati agar sering memafkan kesalahan orang lain dan sering membuat kebaikan dengan orang yang sering menyakiti kita walaupun insan itu menyimpan benci terhadap percakapan dan perlakuan kita...

Oleh itu, jauhkanlah hati kita daripada 3 perkara ini :-

I. Riya' 
Menampakkan amalan kebaikan kepada orang lain dengan tujuan untuk mendapatkan penghargaan dan pujian.

II. Sum'ah
Memperdengarkan atau memberitahu kepada orang lain akan amalan kebaikan yang kita lakukan untuk mendapatkan penghargaan.

III. 'Ujub
Berasa kagum akan diri bahawa dia mampu melakukan amalan kebaikan berbanding dengan orang lain.

Wednesday, 5 March 2014

Erti Waktu Buat Insan

Saat jarum jam bergerak manusia masih lagi sedang menunggu... saat waktu sedang berjalan manusia masih lagi menanti.. saat dunia berputar manusia masih lagi leka !!!

Jika ditanya kepada setiap insan apakah yang paling berharga buat diri ketika ini. Pastinya jawapan itu ke arah duniawi, wang ringgit dan harta kekayaan menjadi keutamaan, tidak lupa juga kecantikan dan kepandaian menjadi pendamping...

Kesemua itu tidak sama dengan nilai masa. Andai kita sudah melepasi hari ini, tidak mungkin kita dapat kembali ke hari kelmarin... Andai kita berjaya melepasi waktu semalam ianya hanyalah sebuah kenangan. Waktu akan tetap berjalan walaupun insan yang bernama manusia masih lagi dibuai mimpi.

Hakikatnya, esok tidak dijanjikan untuk sesiapa..

Sebagai Muslim bersediakah kita untuk memahami betapa pentingnya waktu?

Kerana umat yang dalam kemerosotan dan penindasan seperti kita ini tidak tegar dalam memelihara masa.

Semua insan harus menyedari bahawa masa adalah anugerah terbesar yang dikurniakan Allah S.W.T kepada setiap makhlukNya. 


Saat Hati Berbicara

Pada tetes kerinduan
Yang bertamu di waktu embun
Mulai menitik
Pada helaian dedaunan
Dingin kabus menyelimuti
Tiap rongga rasa
Terasa menyelinap kedinginan
Membuat aku menggeletar

Saat mentari mula
Membiaskan warna
Terasa bahang kerinduan
Membakar seluruh jasad
Membuat aku menerawang
Pada lorong lorong tandus
Gering seuntai kata
Terhakis kecintaan seorang pecinta

Ingin sekali aku mengutip
Hamparan lavender
Agar bisa ku hiasi lagi
Gersang luka yang semakin berbisa
Pada helaian duka yang tersingkap
Agar menjadi hiasan
Taman taman syurga terindah
Pada sarat cinta
Yang sering ku damba

Namun
Bunga bunga cinta yang selalu
Ku semikan
Seringkali ranah dan terbakar
Kudup bunga layu bertaburan
Lambang kehancuran sebuah hati

Selalu aku berpesan
Pada rerama yang sesekali singgah
Usah merenjis racun
Cukuplah sekadar menghiasi
Menjadi penyeri hamparan kalbu
Pada ungu cinta lavender

By : Lavender Ungu